Pelakon Izreen Azminda mengaku tak ambil hati insiden dikecam netizen gara-gara foto memaparkan dirinya mengenakan seluar ketat disiarkan di laman sosial.
Walaupun gambar yang dimuat naik pelakon Azrel Ismail itu mampu mencalarkan reputasinya sebagai wanita bertudung, Izreen tidak menyalahkan aktor itu, sebaliknya menyifatkan insiden berkenaan sebagai sesuatu yang tidak disengajakan.
"Apabila saya tanya Azrel kenapa dia memuat naik gambar itu, katanya, dia berbuat demikian kerana hanya gambar itu yang menampakkan dirinya menarik tanpa menyedari ia mampu mengundang perasaan tidak puas hati netizen. "Saya tidak marah pun dia berbuat begitu kerana pada saya, kedudukan sudut kamera yang membuatkan gambar terbabit menampakkan seluar yang saya pakai ketat.
Kalau diambil dari sudut lain, seluar itu tidaklah ketat seperti yang disangkakan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Taste Selebriti di Restoran Rebung, di sini, hari ini. Menurut Izreen, dia hanya mengetahui perkara itu pun apabila dimaklumkan oleh ibunya.
"Terkejut juga apabila emak saya bertanyakan hal itu (seluar ketat) pada saya. Iyalah, sebagai ibu tentunya dia risau apabila ada cerita kurang enak mengenai diri saya diperkatakan. Saya pun malas nak fikirkan sangat hal itu kerana sebelum ini juga saya pernah dikecam netizen atas pelbagai perkara," katanya. Foto yang disukai seramai 5,424 orang selain mendapat lebih 60 komen itu mengundang beberapa kritikan daripada netizen kerana ia jelas melihatkan Izreen berseluar sendat. Ada yang berpendapat imej Izreen itu tidak sesuai untuk wanita berhijab dan meminta dirinya lebih berhati-hati dalam soal berpakaian.
Mengenai kerjaya lakonannya, Izreen berkata, buat masa ini dia ingin berehat daripada berlakon program TV, sebaliknya ingin menumpukan pada pementasan teater bulan depan. "Buat masa ini saya ingin berehat dan tumpukan perhatian pada anak. Kasihan anak saya apabila ibunya asyik sibuk di lokasi. Selain itu, saya juga akan berlakon dalam dua teater.
"Pementasan pertama berkonsep komedi, 3 Janda, arahan Zulin Azizi akan berlangsung pada Oktober. Selain saya, pelakon lain yang terbabit ialah Sherry Al-Hadad dan Amy Mastura.
"Pada Disember pula saya akan berlakon dalam teater epik bersama Azrel. Ia akan dipentaskan di Stadium Malawati, Shah Alam," katanya. Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam program Taste Selebriti, Izreen berkata program berkenaan akan menyaksikan dirinya mengunjungi pelbagai tempat yang menyajikan masakan istimewa di Perlis.
"Tugas saya nanti akan mempromosikan pelbagai makanan menarik seperti laksa Perlis dan beberapa jenis makanan lain yang menjadi kegemaran saya. Selain menjalankan tugas itu, dapat juga saya pulang ke kampung," ujarnya. Program terbabit akan mula disiarkan menerusi Astro Bella pada 26 September ini, jam 9 malam.
0 comments:
Post a Comment